APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA TERLIBAT DALAM KEMALANGAN DAN CEDERA?
- aqilahannisa co
- Mar 12, 2023
- 2 min read
Beberapa kenalan yang terlibat dalam kemangan jalanraya selalunya akan menghubungi saya kerana masih trauma dan agak buntu apa yang perlu dilakukan sejurus terlibat dalam kemalangan.

Biasanya saya akan bertanya beberapa soalan mudah terlebih dahulu seperti: "Cedera tak?" "Dekat mana sekarang?" "Polis dah datang?" "Dah buat repot polis?" "Bagaimana accident berlaku?"
Soalan-soalan mudah begini akan saya tanya dahulu. Kenapa?
Sekiranya kenalan tersebut cedera, adakah beliau telah dikejarkan ke hospital untuk dapatkan rawatan? Perkara ini penting. Sekiranya kecederaan adalah serius, dapatkanlah rawatan terlebih dahulu. Kemudian barulah buat laporan polis.
Sekiranya kenalan tersebut sudahpun menerima rawatan dan sedang berada di Balai Polis, saya akan nasihatkan untuk ikut porsidur yang polis jalankan seperti membuat laporan polis kemudian beri keterangan kepada pegawai penyiasat (IO). (Bagi sesiapa yang mempunyai kenalan peguam, bolehlah menelefon peguam untuk bertanya bagaimana cara membuat repot polis yang jelas dan tepat). Akan tetapi, sekiranya kenalan masih berada di tempat kemalangan, saya akan nasihatkan supaya hubungi polis supaya pegawai penyiasat (Investigation Officer (IO)) datang ke tempat kemalangan. Jangan alihkan sebarang kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. Ini untuk memudahkan urusan siasatan pegawai penyiasat (IO) dan untuk IO mengambil gambar tempat kemalangan.
Sekiranya polis telahpun tiba di tempat kemalangan dan kemudian pihak-pihak terlibat sudah ke balai, saya akan tanya bagaimana kemalangan berlaku dan adakah pihak yang terlibat mempunyai roadtax insurans yang masih hidup. Hal ini penting sekiranya pihak yang terlibat dalam kemalangan ingin membuat tuntutan kecederaan dan kerugian akibat kemalangan di Mahkamah.
Ini adalah antara perkara yang penting diambilkira apabila seseorang terlibat dalam kemalangan. Pada kebiasaannya, sekiranya kes adalah jelas menunjukkan kesalahan di sebelah pihak, IO akan menyiapkan kertas siasatan dalam masa empat belas (14) hari dan mengeluarkan keputusan untuk menyaman pihak yang cuai dan bersalah dalam menyebabkan kemalangan.
Dalam pada itu juga, mangsa kemalangan yang cedera dan ingin menuntut gantirugi bolehlah terus menghubungi mana-mana peguam yang dipercayai ataupun teruslah 'riki-riki' pejabat peguam yang memberi perkhidmatan dalam bidang tuntutan kecederaan dan kerugian akibat kemalangan yang sesuai.
P/s : Pilihlah peguam yang terbaik dari segi perkhidmatan dan legal fees yang jelas ya!
Sekian kata dari peguam,
Nur Aqilah binti Zainal Abidin
コメント